Pengurus Brendan Rodgers menarik nafas lega apabila kapten Liverpool Steven Gerrard dijangka kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan bakal disenaraikan dalam skuad menentang Hull City pada aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri.
Pemain tengah England berusia 33 tahun itu mengalami hamstring ketika menang 4-1 ke atas West Ham United pada 7 Disember lalu dan kehadirannya semula memberi perkhabaran gembira buat Rodgers selepas menyaksikan pasukannya berdepan krisis kecederaan.
“Steven kembali menjalani latihan jadi kami akan lihat bagaimana tahap kecergasan untuk diturunkan menentang Hull,” kata Rodgers pada sidang media semalam.
“Kami akan memantau perkembangan itu dalam tempoh 24 jam ini,” tambahnya ketika ditanya mengenai kemungkinan Gerrard bakal berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Liverpool kini berada di tangga kelima liga selepas tumpas 2-1 kepada Chelsea pada Ahad lalu yang menyaksikan pemain tengah Joe Allen dan pertahanan Mamadou Sakho mendapat kecederaan.
“Joe mungkin terpaksa diketepikan beberapa minggu akibat kecederaan pangkal paha. Kami pula masih menunggu tahap kecederaan hasmtring Sakho. Glen Johnson dibawa keluar namun ia adalah disebabkan taktikal permainan dan bukannya kecederaan,” kata Rodgers.
“Jordan Henderson dalam keadaan baik. Dia menjalani pemulihan hari ini (semalam). Dia masih berasa sakit tapi dia akan pulih semula.
“Ada seorang atau dua lagi pemain yang akan kami pantau dalam tempoh 24 jam ini.
Dibantu dengan prestasi memuncak penyerang Luis Suarez, Rodgers membimbing Liverpool menduduki tangga teratas liga pada Hari Krismas sebelum keciciran enam mata di belakang pendahulu Arsenal berikutan kekalahan 2-1 di Manchester City dan Chelsea.
Jadual perlawanan dilihat tidak terlalu menekan Liverpool selepas ini walaupun bakal memulakan kempen semula menentang Hull yang menewaskan mereka 3-1 pada 1 Disember sebelum aksi di laman sendiri Piala FA bagi pusingan ketiga dengan Oldham Athletic.
Mereka bakal berkunjung ke Stoke City pada 12 Januari dan Rodgers berharap melihat kembali kelibat penyerang Daniel Sturridge, pertahan Jose Enrique dan Jon Flanagan.

0 comments:
Post a Comment